Blog bantu ibu muda pantang cara tradisi

KONGSI: Faridah mewujudkan blog amalan berpantang untuk pengetahuan bakal ibu dan bapa.

Pakar perubatan kendali laman web baiboo sedia jawab persoalan mengenai rawatan selepas bersalin

TUBUH langsing menawan sudah tentu menjadi idaman setiap wanita, namun impian itu sering kali sukar dicapai khususnya bagi golongan ibu yang baru melahirkan cahaya mata.

Hasrat memiliki tubuh langsing seperti zaman anak dara sukar direalisasikan kerana cara hidup moden kini menyebabkan ramai wanita baru bersalin enggan menjalani proses berpantang sehingga berat badan naik mendadak.

Hakikatnya, wanita selepas bersalin perlu menjalani perawatan tradisional seperti diamalkan zaman berzaman bagi mengekalkan kecantikan luaran dan dalaman walaupun banyak penjagaan perubatan moden ditawarkan, khususnya bagi golongan wanita bekerjaya.

Begitu pun, ada wanita yang ingin mendapatkan khidmat nasihat mengenai kaedah dan amalan berpantang Melayu, tetapi tidak tahu bagaimana caranya atau malu untuk berjumpa bidan dan pakar perubatan tradisional yang biasanya menawarkan perkhidmatan di kampung.

Menyedari hakikat itu, Pensyarah Jabatan Patologi Kimia di Pusat Pengajian Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Dr Faridah A Rashid mewujudkan blog Malay Confinement yang memberi penerangan khusus mengenai kaedah berpantang Melayu untuk ibu selepas bersalin.

Menerusi blog terbabit, golongan ibu tanpa mengira bangsa boleh mengemukakan sebarang pertanyaan kepada Dr Faridah yang sedia menjawab segala persoalan yang dibangkitkan berdasarkan pengalamannya mengkaji perubatan tradisional Melayu sejak 20 tahun lalu.

Melalui baiboo.com.my – blog yang dibangunkan syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur, BaiBoo Sdn Bhd itu dikhaskan untuk golongan suami isteri muda yang belum begitu mahir selok belok sebagai bapa dan ibu.

Dr Faridah, 48, anak kelahiran Melaka dan ibu kepada enam cahaya mata itu berkata, minatnya yang mendalam terhadap perubatan tradisional Melayu menarik minatnya untuk terbabit dalam blog berkenaan khususnya bagi membantu golongan ibu bapa yang merancang dan baru dikurniakan cahaya mata.

“Ramai yang masih keliru mengenai kaedah berpantang selepas bersalin yang diamalkan masyarakat Melayu. Menerusi blog ini, saya sedia menjawab pelbagai persoalan seperti urutan badan, bertungku, bertangas, pemakaian barut dan bengkung sehinggalah pengambilan jamu dan pemakanan,” katanya.

Beliau yang bertugas di HUSM sejak 24 tahun lalu, berkata kaedah rawatan tradisional bagi wanita bersalin sebenarnya masih kuat diamalkan dalam masyarakat Melayu kini, walaupun ada yang menganggapnya sebagai kuno.

“Berdasarkan kajian saya, perubatan dan kaedah tradisional bagi perawatan selepas bersalin tidak melanggar serta bertentangan dengan amalan perubatan moden. Cuma, amalan tradisional tidak banyak disertakan dengan fakta tepat.

“Sebab itu, orang Melayu perlu mempunyai pengetahuan supaya sesuatu herba dan ubat-ubatan itu diambil mengikut keperluan atau had yang perlu kerana jika terlebih, mungkin akan mendatangkan mudarat kepada ibu mengandung atau yang baru melahirkan bayi,” katanya.

Dr Faridah berkata, perkara yang selalunya diabaikan dalam amalan berpantang tradisional orang Melayu ialah bersenam yang sebenarnya menjadi faktor penting dalam menentukan kesihatan dan kerampingan seseorang wanita.

“Bersenam memang tiada dalam istilah perubatan Melayu, tetapi selalu saya tekankan kepada pelajar saya bahawa wanita selepas bersalin perlu bersenam kerana ia penting untuk menguatkan peranakan dan menstabilkan kedudukan rahim.

“Selain itu, ramai wanita melakukan amalan berpantang semata-mata mahu kelihatan ramping dan memiliki tubuh menawan sedangkan mereka tidak sedar bahawa amalan pantang dalam masyarakat Melayu juga penting untuk menghindari penyakit jantung yang akan berlaku jika berat badan berlebihan,” katanya.

Mengenai pemakanan ketika mengandung, Dr Faridah berkata, ibu hamil boleh menikmati apa saja makanan asalkan diambil secara berpatutan dan mengikut amalan pemakanan seimbang untuk kekuatan dan pembentukan bayi yang sihat.

“Paling penting, wanita hamil jangan mengambil ubat selain yang dibenarkan oleh doktor kerana dengan mengambil ubat yang salah boleh mengakibatkan kerosakan pada DNA bayi, seterusnya menyebabkan kecacatan.

“Struktur kimia yang terdapat pada ubat tertentu boleh menjejaskan DNA yang mungkin menyebabkan pembesaran bayi ketika dalam kandungan terhalang atau mulut bayi menjadi sumbing dan lelangit terbelah.

“Selain itu, ibu yang terasa pening dan loya digalakkan mengambil limau kasturi dan jangan sekali-kali mengambil ubat yang mengandungi aspirin kerana akan menyebabkan percantuman jantung bayi menjadi tidak sempurna sehingga menyebabkan jantung berlubang,” katanya.

Sebaliknya, beliau menggalakkan ibu hamil mengambil banyak sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet seharian kerana terbukti kandungan dalam makanan terbabit mengandungi asid folik yang membantu pembinaan saraf tunjang.

“Bagi memastikan bayi yang dilahirkan sihat, perancangan dalam pemakanan perlu dilakukan sejak ketika merancang kehamilan. Herba Melayu seperti mas cotek mempunyai khasiat tersendiri yang baik untuk tubuh.

“Malah, orang Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai musim buah-buahan yang sepatutnya digunakan oleh ibu mengandung untuk mendapatkan khasiat secara mudah melalui sumber yang terdapat pada buah seperti mangga,” katanya.

Ingin mendapatkan maklumat lanjut menganai amalan berpantang masyarakat melayu yang dikendalikan oleh Dr Faridah, kunjungi laman baiboo.com.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Idesa