Time latih Bumiputera jadi usahawan ICT

AKSES dan peluang adalah teras utama dalam aspirasi pembangunan modal insan negara, dengan kemampuan individu atau kumpulan disemarakkan menerusi sokongan dan dorongan daripada mereka yang lebih berkeupayaan.

Modal insan bukan setakat dalam bidang pendidikan, malah ia juga diaplikasikan dalam bidang perniagaan seperti dilakukan Time Engineering Bhd (Time) menerusi beberapa program yang dirangka.

Hingga kini, Time sudah membangunkan lebih 250 syarikat Bumiputera menerusi projek Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bermula sejak 2003. Syarikat berkenaan dibimbing menjadi kontraktor dan vendor teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dengan memberi pendedahan cara kerja berdasarkan prinsip amalan terbaik serta peranan sebagai rakan kongsi.

Menerusi projek PPSMI yang kini pada fasa kelima, Time menekankan kepada peningkatan pencapaian kontraktor Bumiputera yang dilantik di samping membangunkan modal insan melalui program pembangunan keusahawanan dan latihan teknikal.

Ia bertujuan meningkatkan skil juruteknik dan jurulatih yang menjadi tulang belakang kepada kemajuan prestasi syarikat ICT Bumiputera yang dilantik di bawah program PPSMI.

Pengarah Urusan Time, Amiruddin Abdul Aziz, berkata antara cabaran awal syarikat ketika mula melaksanakan projek PPSMI ialah mengenal pasti bidang yang boleh disertai syarikat Bumiputera dan memaksimumkan penyertaan mereka.

Antara matlamat awalnya ialah membabitkan syarikat atau usahawan Bumiputera dalam PPSMI, sekali gus melebarkan peluang mencipta kejayaan dan ia tidak boleh tertumpu pada satu kumpulan atau kawasan tetapi secara menyeluruh ke seluruh negara.

Selain itu, PPSMI berperanan mendedahkan syarikat Bumiputera ke bidang yang boleh berlaku perpindahan pengetahuan dan teknologi, bertujuan mempersiapkan mereka bagi kegiatan ekonomi yang lebih tinggi pada masa depan. Menerusi pelaksanaan projek PPSMI di fasa dua hingga lima, Time berjaya mencapai semua matlamat itu.

Pembabitan syarikat Bumiputera tempatan di dalam projek PPSMI juga sudah menarik lebih 1,000 pekerja bertauliah atau dilatih dalam pelbagai bidang tertentu seperti kerja pemasangan, pengujian, pentauliahan, pendawaian, logistik dan penyimpanan stok, khidmat sokongan kepada pengguna dan latihan.

Projek PPSMI yang dilancarkan pada 2002, memberi penekanan kepada penggunaan ICT sebagai medium pengajaran, sekali gus mengkehendaki kerajaan membekalkan setiap guru Sains dan Matematik dengan komputer riba serta peralatan multimedia di sekolah kelolaan Kementerian Pelajaran.

Pembekalan perkakasan ke sekolah bagi PPSMI itu kini sudah memasuki fasa kelima, dan Time sudah membekalkan hampir 127,000 komputer riba; 72,000 projektor multimedia LCD; 105,000 skrin; 41,000 troli dan 21,000 pencetak. Pembekalan peralatan komputer ini adalah sebagai melengkapi aspek pembestarian sekolah meliputi perkakasan komputer, makmal komputer, SchoolNet, televisyen pendidikan dan inisiatif PPSMI.

Murid tahun satu sehingga lima telah mengikuti kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris dan mulai tahun depan, kertas Matematik dan Sains Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah dalam bahasa Inggeris.

Amiruddin berkata, Time menerusi anak syarikatnya, Time System Integrators Sdn Bhd (TSI), sudah melaksanakan projek PPSMI untuk fasa dua hingga lima bernilai lebih RM1.5 bilion daripada Kementerian Pelajaran sejak Oktober 2003 hingga kini.

Berdasarkan pengalaman dan hubungan sektor awam-swasta yang baik berupaya membantu kedua-dua pihak dalam mencapai matlamat sama, iaitu untuk menjayakan program kebangsaan ini bagi kemajuan generasi akan datang.

Selain membangunkan usahawan Bumiputera, Time turut menyediakan program latihan kepada guru di bidang kemahiran penggunaan ICT dalam bilik darjah yang kini sudah membabitkan hampir 120,000 guru di seluruh negara.

Program pembangunan usahawan yang dijalankan Time membabitkan siri seminar mengenai penambahbaikan proses perniagaan, pengurusan sumber modal, ceramah motivasi dan membangunkan idea perniagaan.

Dari aspek melahirkan tenaga berpengetahuan, Amiruddin berkata, dalam fasa PPSMI sebelum ini, TIME berjaya membentuk lebih 250 juruteknik bertauliah bagi melakukan kerja pembaikan dan servis menerusi pelbagai platform dan teknologi.

“Juruteknik itu adalah daripada 42 syarikat milik Bumiputera yang sudah menjalani latihan teknikal serta ditauliah melakukan servis untuk komputer bimbit, projektor dan pencetak,” katanya sambil menambah juruteknik berkenaan juga akan dilatih ke tahap lebih tinggi dalam mengendalikan servis dan lain-lain penyelesaian ICT seperti pelayan, rangkaian, jalur lebar dan satelit.

Selain daripada pakej kerja perkhidmatan sokongan untuk peralatan PPSMI, peluang juga akan dibuka kepada syarikat Bumiputera berpotensi untuk meneroka bidang teknologi terkini bersama kumpulan Time.

Pada pihak Time, pulangan atas pelaburan dalam program seumpamanya diperoleh bukan saja daripada kaedah altruistik, malah juga dari segi perolehan syarikat.

“Kami sebenarnya berupaya menikmati penjimatan kos kira-kira 20 peratus dalam tempoh tiga tahun dengan melakukan penyumberan luar di bawah projek PPSMI kepada kumpulan pembekal dan vendor Bumiputera kami berbanding jika kami melakukan sendiri keseluruhan projek itu,” katanya.

Sejak 2001, Time sudah menyaksikan pertumbuhan dalam perniagaan ICT. Ia seiring dengan langkah syarikat milik kerajaan (GLC) terbabit pada masa itu untuk mempelbagaikan punca pendapatan daripada sumber perniagaan sedia ada kepada ICT.

Punca pendapatan Time sekian lama ialah daripada perniagaan pengeluar tenaga bebas (IPP) tetapi hari ini, semua perolehannya dijana daripada ICT. Perniagaan ICT menyumbang lebih RM850 juta dari segi perolehan kepada TIME, kebanyakannya melalui sektor pendidikan.

Amiruddin berkata, Time ingin terus menjadi ‘rakan pembina negara’ dan memainkan peranannya sebagai GLC yang berwawasan untuk sama-sama membangunkan negara melalui inisiatif ICT.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Idesa