MakCik PC lebih murah

Mimos bantu rapat jurang teknologi di kalangan warga emas, orang kampung

JURANG digital yang wujud di negara ini dilihat bukan saja memberi kesan terhadap pengguna yang tinggal di kawasan pedalaman, tetapi turut meminggirkan segmen pengguna warga emas.

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu UNDP 2005/2006, masih terdapat jurang terhadap penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia, khususnya untuk segmen pengguna tertentu.

Golongan yang dimaksudkan itu adalah seperti penduduk yang tinggal di kawasan yang mempunyai tahap penyampaian pendidikan yang rendah, remaja, di kalangan penduduk yang mempunyai pekerjaan bukan profesional, berpendapatan rendah, kawasan pedalaman dan warga emas.

Menyedari hakikat itu, Mimos Bhd, Organisasi penyelidikan aplikasi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) tempatan dilihat menunjukkan keprihatinan mereka menerusi penghasilan rangkaian produk ‘kelengkapan Celik Teknologi Maklumat (IT)’ untuk segmen pengguna yang tinggal di kawasan luar bandar terutama warga emas.

Idea penghasilan kelengkapan produk untuk pengguna warga emas mula diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada mesyuarat Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) Ogos lalu, yang mahu melihat jurang digital yang wujud ketika ini dapat dikurangkan dan seterusnya ditangani.

Mimos berjaya merealisasikan saranan Perdana Menteri menerusi pembangunan Kelengkapan Celik IT pada kadar jualan yang rendah

Pembangunan kelengkapan itu dibahagikan kepada tiga segmen pengguna iaitu untuk peringkat bawah dikenali CyberWind, khususnya bagi segmen pengguna makcik atau golongan warga emas, Mimos Kapsul Siber bagi peringkat pertengahan yang dikhususkan untuk sekolah dan komputer peribadi (pc) kapsul Mimos Perdana Siber (CyberPrime) untuk pengguna komersial.

iGajet minggu ini akan mengetengahkan produk Mimos untuk peringkat bawah yang dikenali menerusi nama kod ‘MakCik PC’ atau CyberWind.

Apabila terdengar nama ‘MakCik PC’, pastinya pembaca memahami ia adalah produk yang dihasilkan untuk golongan yang dimaksudkan itu atau warga emas yang kini sering berdepan isu takut dengan teknologi.

Peranti yang dibangunkan sejak dua bulan lalu dan dihasilkan pada asas prototaip itu dilihat mampu menangani isu takut terhadap teknologi bagi golongan sasaran apabila ia dihasilkan pada platform yang mudah digunakan dilengkapi ciri terminal yang hanya memerlukan mereka mengendalikannya menerusi penggunaan jari berbanding kawalan papan kekunci.

Ia adalah perantara internet yang disambungkan kepada sistem televisyen pada asas mesra pengguna yang unik dan pertama seumpamanya pernah dihasilkan di negara ini.

Daripada segi kandungan yang diketengahkan menerusi peranti termaju itu, ia dibahagikan kepada empat kategori iaitu komunikasi, maklumat, komuniti dan pembelajaran.

Malah, kandungan yang dilengkapi di dalam MakCik PC itu adalah berdasarkan kajian yang dilakukan sendiri oleh Mimos sebagai usaha memastikan keberkesanan penghasilan produk terbabit untuk pengguna warga emas di kawasan pedalaman.

Bagi kategori komunikasi, ia dilengkapi pelayar pc atau televisyen yang membolehkan aktiviti penghantaran emel, web pengetahuan dan pesanan dilakukan dengan mudah menerusi kawalan jari.

Aspek penyampaian komunikasinya juga adalah ringkas apabila ia turut dilengkapi telefon binaan dalaman yang disambungkan pada panel utama MakCik PC bagi membolehkan aktiviti penghantaran suara menerusi Protokol Internet (VoIP) dan persidangan video dilakukan tanpa batasan.

Pastinya penyampaian maklumat adalah antara ciri penting yang diberi penekanan Mimos bagi memastikan penyiaran televisyen diperoleh secara percuma, termasuk penyiaran istimewa seperti maklumat yang disalurkan kerajaan.

Kategori komuniti pula adalah segmen penyampaian yang dilengkapi pelbagai maklumat am, cuaca, pengiklan dan portal K-Masjid (K-Mosque).

Menerusi K-Masjid, pengguna berpeluang untuk mendapatkan maklumat seperti waktu sembahyang untuk lokasi utama di negara ini dan khutbah Jumaat secara langsung atau yang disimpan mengikut tarikh ditetapkan di dalam portal itu.

Daripada sudut pembelajaran pula, kategori itu dilengkapi senarai aplikasi MyGFL, AgriBazar, siri animasi, maklumat akademik dan permainan elektronik yang berasaskan hiburan maklumat (InfoTainment).

Portal agribazaar yang bukan berperanan sebagai ‘orang tengah’ itu dihasilkan menerusi kerjasama Mimos dan Jabatan Pertanian dalam usaha membolehkan pengguna mendapat akses maklumat seperti pengumuman, senarai produk yang ditawarkan, direktori perniagaan, ramalan cuaca, analisis pasaran dan maklumat berkaitan penggunaan IT dalam pertanian.

K-School (K-Sekolah) pula adalah aplikasi yang dilengkapi ciri membolehkan ibu bapa untuk mendapatkan maklumat prestasi pelajar dengan tepat menerusi televisyen apabila ia dihubungkan ke sistem sambungan sekolah secara terus.

Reka bentuknya yang nipis disamping dilengkapi ciri teknologi WiFi dan tidak lama lagi WiMAX itu membolehkan ia digunakan dengan lebih berkesan walaupun untuk sambungan di kawasan pedalaman.

Ia dibina pada kapasiti memori ‘Flash’ berbanding cakera keras besar bagi memastikannya lebih nipis dan ringan untuk ditempatkan di ruang tamu di rumah kampung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Idesa