Syabas tolak aku janji pemberian air percuma

SHAH ALAM: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) semalam menolak surat aku janji anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), berhubung terma dan syarat pembayaran pemberian air percuma kepada pengguna di negeri ini.

Sehubungan itu, Syabas akan terus mengeluarkan bil seperti biasa tanpa pemotongan atau subsidi sehingga berpuas hati dengan aku janji yang dikeluarkan Kerajaan Selangor berhubung pembayaran bagi 20 meter padu air percuma itu.

Ketua Eksekutif Syabas, Datuk Ruslan Hassan, berkata pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan KDEB agar pembayaran bil air percuma itu dibuat selepas penstrukturan semula sistem bekalan air di Selangor siap sepenuhnya pada September ini.

Dalam satu kenyataan di sini semalam, beliau berkata, cadangan KDEB itu secara langsung boleh menjejaskan aliran tunai dan operasi Syabas.

Surat aku janji bersyarat KDEB itu, yang ditandatangani pada 6 Jun lalu, diterima Syabas dengan serahan tangan pagi semalam.

“Selepas menelitinya, kita tidak bersetuju dengan cadangan KDEB itu kerana Syabas berpendapat pemberian air percuma yang dicadangkan kerajaan negeri tiada kaitan dengan program penstrukturan yang dicadangkan di Selangor,” katanya.

Ruslan berkata, Syabas sebaliknya mengemukakan cadangan balas untuk mengebil KDEB pada setiap akhir bulan dan pembayaran hendaklah dibuat dalam tempoh 14 hari daripada penyerahan tuntutan itu.

Katanya, kegagalan KDEB memenuhi syarat pembayaran seperti yang dicadangkan itu akan memaksa Syabas menghentikan program pemberian air percuma itu.

Beliau berkata, surat penolakan Syabas itu sudah dihantar kepada KDEB untuk makluman dan tindakan lanjut.

Jumaat lalu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan pemberian air percuma bagi setiap 20 meter padu pertama bagi pengguna meter individu tetap dilaksanakan bermula bulan ini seperti dijanjikan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, KDEB sudah menyerahkan dokumen dan surat mengenai arahan pemberian diskaun itu kepada Syabas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Idesa